Latar Belakang

Pada bulan Oktober 2009, ahli-ahli Jawatankuasa Antarabangsa Penterjemahan Alkitab Bahasa Isyarat telah datang ke Kuala Lumpur dan berjumpa dengan beberapa orang Pekak Kristian di Malaysia.  Mereka telah berkongsi tentang visi, misi dan pengalaman dalam memainkan peranan penting terhadap Penterjemahan Alkitab Bahasa Isyarat.  Perjumpaan ini berjaya menarik perhatian masyarakat Pekak yang telah memberikan sokongan padu terhadap inisiatif ini.  Perjumpaan ini juga telah memberi inspirasi kepada beberapa orang Pekak Kristian untuk menyahut cabaran dalam meninjaui serta mewujudkan projek Penterjemahan Alkitab untuk Orang Pekak Malaysia.

 

 

Tujuan

Justeru itu, satu Jawatankuasa Penterjemahan Alkitab Bahasa Isyarat Malaysia telah ditubuhkan pada 29 November 2009.  Tujuannya adalah untuk menterjemahkan tulisan Alkitab ke dalam Bahasa Isyarat Malaysia dalam bentuk video dan menyebarkan penggunaan Bahasa Isyarat Malaysia sebagai bahasa tulen Orang Pekak.  Projek ini dijangka akan mengambil jangka masa yang panjang dan oleh itu amat memerlukan sokongan dan kerjasama daripada masyarakat Kristian di Malaysia, termasuk orang Pekak dan bukan Pekak, gereja tempatan, pertubuhan Kristian dan para penyumbang.  Pada bulan Mac 2013, BIMBT telah mula menggaji pekerja sepenuh masa.

 

 

Mengapakah BIMBT diperlukan?

Kebanyakan orang pada mulanya tidak memahami sebab orang Pekak memerlukan Alkitab Bahasa Isyarat. Mereka berfikir jika seseorang pekak itu boleh membaca dalam bahasa Inggeris, dia juga mampu untuk mentafsir kata-kata dan makna dalam tulisan Alkitab. Hakikatnya adalah kebanyakan orang Kristian Pekak di Malaysia menghadapi cabaran untuk mengerti makna yang ditulis dalam Alkitab. Ini juga mungkin disebabkan oleh tahap pendidikan yang rendah dan tahap kebolehan membaca yang agak terhad. Hakikatnya adalah kerana Alkitab tidak disampaikan dalam bahasa ibunda mereka. Oleh itu, dengan menterjemahkan Alkitab ke dalam Bahasa Isyarat Malaysia (BIM), Orang Pekak akan dapat "membaca" dan memahami firman Allah dalam bahasa ibunda mereka.

Semasa servis Ahad untuk orang pekak di sesetengah gereja, kebiasaannya seorang penterjemah bahasa isyarat yang boleh mendengar akan ditugaskan untuk menterjemah khutbah dengan menggunakan bahasa isyarat Orang Pekak. Kadangkala, penterjemah Pekak sangat diperlukan untuk menterjemahkan daripada Penterjemah bukan Pekak agar mesej dapat disampaikan dalam BIM yang lebih semulajadi supaya orang Pekak boleh lebih menghayati khutbah yang disampaikan. Dengan adanya Alkitab dan sumber Alkitab dalam BIM, Komuniti Kristian Pekak berharap satu hari nanti mereka boleh memperoleh seorang pendeta yang boleh mengajar dan menyampaikan khutbah dalam bahasa ibunda mereka.

Bahasa Isyarat adalah satu aspek pertalian budaya antara komuniti Orang Pekak yang merupakan sumber asas yang penting demi keutuhan, kestabilan dan identiti komuniti ini.